Wakaf : Sumbangan Kecil Ganjaran Berlipat-Ganda
Islam telah menyediakan garis pandu kehidupan yang sempurna bersandarkan Al-Qur’an dan Hadith yang mampu menjadikan kehidupan seseorang Muslim itu lebih terurus dan teratur. Dalam apa jua bidang sama ada perihal munakahat, mu’amalat, jinyayat, ibadat dan banyak lagi, maka Al-Qur’an dan Hadith adalah jawapan kepada segala permasalahan.
Sebagai seorang Muslim, sudah tentu dan menjadi kewajipan kepada kita untuk mengawal segala perbuatan dan tingkah laku agar sentiasa berpandukan kepada Al-Qur’an dan Sunnah. Ini kerana setiap perbuatan tidak kira besar atau kecil akan dikira di sisi Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Zalzalah, ayat 7 & 8 yang bermaksud:
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam timbangan amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam timbangan amalnya)!
Justeru, ayat di atas boleh dijadikan sebagai panduan dan pengajaran kepada setiap Muslim bahawa atas apa jua amalan (tidak kira baik atau buruk) ianya akan dikira oleh Allah S.W.T. Sekecil mana pun amalan, jika ianya amalan yang baik sudah tentu Allah S.W.T akan memberi ganjaran pahala ke atasnya. Begitu juga dengan amalan yang buruk, walaupun perbuatan yang dilakukan adalah kecil kesalahannya, namun ianya tetap dikira di sisi Allah S.W.T.