Wakaf Amalan Mulia
Ibadah berwakaf di kalangan ummat Islam pada zaman ini bukanlah satu ibadah yang menjadi tradisi dan amalan lagi. Berbeza dengan di zaman terdahulu, wakaf merupakan instrumen utama sebagai sumber kekuatan ekonomi ummat Islam. Malah, di zaman dinasti Umaiyyah dan Abbasiyah wakaf menjadi satu perkara utama di dalam kehidupan ummat Islam ketika itu, sehinggakan tertubuhnya lembaga dan yayasan wakaf tersendiri dan khas di dalam menguruskan hal ehwal wakaf.
Wakaf, dari segi bahasanya berasal daripada perkataan وقف bermaksud ‘terhenti’ atau ‘menahan’, manakala dari segi istilah bermaksud apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri (taqarrub)pewakaf kepada Allah S.W.T.
Wakaf adalah sedekah yang sebenarnya lebih dikenal sebagai sedekah jariyah. Dari segi maksud yang lebih spesifik, wakaf menahan hak pewakaf ke atas harta tersebut untuk diberikan manfaatnya atas niat kebajikan, agar pahala itu dapat mengalir terus-menerus.
Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W melalui sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud :
“Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara : sedeqah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan do’a dari anak yang soleh”
Inilah keindahan Islam. Terserlah kecantikannya sehinggakan insan yang telah meninggal dunia masih mampu untuk memiliki ganjaran pahala hasil daripada amal perbuatan ketika masih hidup di dunia.
Namun begitu, masih ramai yang menganggap bahawa ibadah berwakaf ini adalah amalan yang tidak berkepentingan. Ini kerana pendedahan mengenai wakaf yang tidak meluas ataupun salah pemahaman terhadap pengistilahan wakaf itu sendiri merupakan punca utama kepada permasalahan ini. Ummat Islam selalunya terlalu terikat dengan pemahaman mereka di mana jika seseorang itu ingin berwakaf, maka mereka perlulah mempunyai tanah atau bangunan yang ingin diwakafkan. Salah faham seperti inilah yang menjadi punca kepada kurangnya atau tidak rancaknya ibadah berwakaf di kalangan ummat Islam pada masa kini lebih-lebih lagi di Malaysia.
Walhal, hakikatnya ummat Islam mempunyai satu lagi alternatif terbesar di dalam berwakaf yang dinamakan ‘wakaf tunai’.
Wakaf tunai ialah berwakaf menggunakan wang tunai sebagai harta yang diwakafkan untuk mengumpul dana wakaf yang kemudiannya ditukar kepada harta kekal. Harta kekal ini akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan masyarakat secara berulang kali/berterusan. Wakaf tunai termasuk di dalam pembahagian wakaf manqul iaitu wakaf bagi harta yang boleh dipindah alih.
Wakaf tunai dalam erti kata lain, berwakaf menggunakan wang tunai yang dikumpul di dalam satu tabung amanah di bawah pengurusan nazir yang diamanahkan untuk mengurus wakaf ini (iaitu YWM) bagi tujuan membiayai aktiviti-aktiviti dan kebajikan amal jariah.
Fatwa Kebangsaan menyatakan :
“Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam”.
(Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu)
Lawatan Ke Tapak Cadangan Projek Wakaf Mart dan Bazar Rakyat Sekitar Kuala Lumpur dan Selangor
Pada 21 hingga 24 Disember 2009 yang lalu, seramai 4 orang pegawai YWM termasuk Ketua Pegawai Eksekutif YWM, En. Azri Ahmad telah mengadakan lawatan ke 2 buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor untuk melawat serta mengenalpasti tempat-tempat yang berpotensi untuk dijadikan tapak pembinaan Wakaf Mart dan Bazar Rakyat. Untuk permulaan, lokasi tapak yang dikenalpasti adalah berhampiran dengan kawasan masjid. Ini kerana lokasi tersebut menjadi tumpuan khususnya kepada umat Islam. Antara tapak yang sempat di lawati oleh YWM ialah :
WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
- MASJID AMRU IBNU AL’ASS, BANDAR BARU SENTUL
- MASJID JAMEK BANDAR BARU SRI PETALING
- MASJID MUQARRABIN, BANDAR TASEK SELATAN
- MASJID SAIDINA OTHMAN, BANDAR TUN RAZAK
- MASJID SAIDINA ABU BAKAR, BANGSAR
- MASJID SAIDINA UMAR AL-KHATTAB, DAMANSARA
- SURAU JUMAAT-SURAU DARUL NAIM, DESA TUN RAZAK
- MASJID AL FIRDAUS, SEGAMBUT LUAR
- MASJID PUTRA, PUTRAJAYA
- MASJID AN-NAJIHIN, BANDAR TASEK PERMAISURI
- MASJID SAIDINA HAMZAH, KAMPUNG BATU
SELANGOR
- MASJID AR-RAHIMIAH, JALAN LANGAT
- MASJID ASY-SYARIF, MERU
- MASJID BANDAR BARU BANGI
- MASJID JAMEK PEKAN KAJANG
- MASJID AR-RAUDHAH, TANJUNG KARANG
- MASJID KIAYI HAJI ABDULLAH UMAR, KAPAR
- MASJID DARUL SALAM, JERAM